50kg Ikan Ditangkap guna Bahan Letupan Dirampas

Anggota PPM menunjukkan ikan yang dipercaya ditangkap mengunakan bahan letupan. Gambar Pasukan Polis Marin W4 Sabah

KUDAT, 26 Februari 2019(Selasa)- Dalam menjalankan Operasi Bersepadu/Inter Agensi sepasukan 4 pegawai dan anggota Pasukan Polis Marin Kudat bersama 6 Pegawai dan anggota Jabatan Perikanan Kudat telah membuat pemeriksaan ke atas sebuah feri penumpang dari Karakit, Pulau Banggi ke Kudat di Terminal Feri Kudat pada jam 3.30 petang tadi.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, ACP Hj Mohamad Pajeri Bin Ali berkata, ‘Hasil pemeriksaan di dalam Feri tersebut telah menemukan 50 kilogram ikan pelbagai jenis di dalam sebuah tong merah.

Hasil pemeriksaan lanjut oleh pegawai Jabatan Perikanan mendapati ikan-ikan tersebut dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan.

Pemeriksaan juga mendapati juragan Feri dan anak kapal serta penumpang tidak mengaku sebagai pemilik ikan berkenaan. Tong yang berisi ikan-ikan tersebut dirampas kerana telah melakukan kesalahan dibawah Seksyen 26 (1) (c) Akta Perikanan 1985. Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM900.00.

Kesemua rampasan dibawa ke pangkalan Markas Operasi Pasukan Polis Marin Kudat untuk tindakan dan siasatan lanjut oleh Jabatan Perikanan Kudat.

ACP Pajeri Ali meminta orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan dan penjualan hasil ikan daripada aktiviti berkenaan kerana boleh menjejaskan ekosistem marin dan memusnahkan batu karang.

Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah juga sentiasa berusaha dengan serius untuk membanteras kegiatan ini sama ada secara sendiri atau menjalankan Operasi Bersepadu bersama Jabatan Perikanan. – Pasukan Polis Marin W4 Sabah

Gambar Pasukan Polis Marin W4 Sabah
Anggota Pasukan Polis Marin Kudat bersama anggota Jabatan Perikanan Kudat menunjukkan ikan yang dirampas. Pasukan Polis Marin W4 Sabah
Gambar Pasukan Polis Marin W4 Sabah
432