Wanita antara 12 ditahan dalam ‘Op sarang’ di Kota Kinabalu

Op Sarang Khas dijalankan di Kampung Sembulan, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU, 24 Feb – Seramai 12 individu termasuk seorang wanita ditahan dalam Op Sarang di dua lokasi berasingan di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji berkata kesemua mereka berumur 14 hingga 51 tahun itu adalah sebahagian daripada 20 individu diperiksa dalam operasi di Kampung Suang Parai dan Kampung Delima dari pukul 2 petang hingga 7 malam.

Habibi berkata lapan lelaki ditahan dalam operasi itu disiasat di bawah Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952,  manakala tiga lelaki disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63, dan wanita terbabit di siasat di bawah Seksyen 4(1)(C) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Polis turut merampas wang tunai RM250 dan sebuah telefon bimbit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Habibi berkata Op Sarang dilancarkan berdasarkan risikan dan maklumat orang awam bagi membendung kegiatan penyalahgunaan dadah sekali gus mengambil tindakan ke atas sindiket pengedaran dadah yang wujud di kawasan terbabit.

Usaha membanteras pengedaran dan penagihan dadah di sekitar Kota Kinabalu akan terus diperhebat demi kesejahteraan masyarakat setempat, katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *