Tak sempat seludup tong gas ke Indonesia

Lelaki tempatan ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) menerusi Op Gelora kerana disyaki cuba menyeludup keluar tong gas petroleum cecair (LPG) di Tawau. – Foto ihsan PPM

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan dua lelaki ketika cuba membawa keluar tong gas petroleum cecair (LPG) dalam tangkapan berasingan menerusi Op Gelora di sini, semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata tangkapan dibuat masing-masing di kawasan Pelabuhan CIQ dan Pasar Tawau pada 7 pagi dan 3 petang.

Katanya, tangkapan pertama membabitkan lelaki tempatan berusia 37 tahun, susulan pemeriksaan ke atas sebuah van di Pelabuhan CIQ yang membawa enam unit tong gas 14 kilogram (kg) jenama MyGaz.

“Tangkapan kedua pula membabitkan sebuah bot dikendalikan lelaki tempatan berumur 44 tahun yang membawa empat unit tong gas 14 kg jenama tempatan.

“Kedua-dua suspek masing-masing gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit serta sijil kebenaran membawa barang kawalan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, siasatan awal mendapati kesemua tong gas LPG itu disyaki cuba diseludup keluar melalui Pulau Sebatik sebelum dijual di Indonesia.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan termasuk van dan bot serta enjin sangkut dianggarkan berjumlah RM29,800.

“Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Gambar Pasukan Polis Marin W4 Sabah