Mohd Ayub, Nur Faten Izzati johan tilawah Al-Quran Sabah

Mohd Ayub Maidi dari Semporna dan Nur Faten Izzati Rablin mewakili Kota Marudu dinobatkan johan qari dan qariah pada Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Negeri Sabah di Dewan Saadah, Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU, 22 Feb – Mohd Ayub Maidi yang mewakili Semporna dan Nur Faten Izzati Rablin dari Kota Marudu, masing-masing diumumkan johan qari dan qariah Majlis Tilawah al-Quran Sabah di sini, malam tadi.

Masing-masing menerima hadiah wang tunai RM10,000, piala iringan dan sijil penyertaan yang disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Mereka akan mewakili Sabah ke Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan pada April depan.

Naib johan qari disandang [email protected] Misdaranai yang mewakili Kota Kinabalu manakala tempat ketiga dimenangi Hamidi Yusof dari Keningau.

Naib johan qariah pula disandang wakil Tawau, Siti Hatuah Marsuki sementara tempat ketiga diraih Parmas Anggas dari Keningau.

Berucap pada majlis itu, Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ??menyeru umat Islam, khususnya bumiputera Sabah, agar melakukan  jihad ekonomi bagi meningkatkan pencapaian mereka yang nyata masih lemah dalam bidang tersebut berbanding bangsa lain.

Katanya untuk itu, adalah penting semangat baharu bagi memperkasa ekonomi umat Islam disemai dalam kalangan mereka.

“Maknanya, kita memerlukan pejuang agama, nasionalis dan patriot baharu yang berjuang melalui landasan ekonomi, bukannya politik semata-mata,” katanya.

Beliau berkata ini kerana politik tidak menjamin kedudukan dan kemandirian bangsa secara automatik tanpa pengukuhan ekonomi, terutamanya pada zaman globalisasi semasa yang menekankan kejayaan dunia dagang.

— BERNAMA