Lelaki Pesakit Mental Ditemui Mati Di Pekan Beaufort

Pegawai perubatan daripada Hospital Beaufort memberikan rawatan awal kepada lelaki dipercayai kurang siuman yang ditemui tidak sedarkan diri dibelakang sebuah kedai di Beaufort. Gambar IPD Beaufort

BEAUFORT: Seorang lelaki dipercayai pesakit mental ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di belakang sebuah kedai di kawasan pekan di sini.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, kejadian terbabit berlaku kira-kira jam 7.50 malam Sabtu.

Menurutnya, mangsa dikenali sebagai Kimsin Jakirin, 49, beralamat di Kampung Klias Kecil di sini.

“Mangsa diberi rawatan kecemasan di lokasi kejadian sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan hospital pada jam 8.50 malam,” katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa adalah pasakit mental dan mendapat rawatan di Hospital Daerah Beaufort.

Azmir berkata, mangsa yang sering dilihat merayau di kawasan pekan dipercayai tinggal seorang diri dan tidak pernah berkahwin.

Selain itu, jelasnya, pemeriksaan pada luaran tubuh badan mangsa mendapati tiada sebarang kecederaan pada mangsa.

“Bedah siasat dijalankan hari ini pada jam 8 pagi bagi mengetahui punca kematian.

“Siasatan masih dijalankan dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – Utusan Borneo

Lelaki berkenaan dibawa naik ke dalam ambulan. Gambar IPD Beaufort
631