Harapan Rakyat akan dibubar, ahli sertai BERSATU

PRESIDEN Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Datuk Lajim Ukin (duduk, tengah) pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi Harapan Rakyat di Kota Kinabalu, hari ini. – Foto Malai Rosmah Tuah

KOTA KINABALU: Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) akan mengadakan Persidangan Agung Luar Biasa (EGM) bagi membubarkan parti itu dan membawa 64,000 ahlinya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), dalam masa terdekat.

Presidennya, Datuk Lajim Ukin, berkata selepas EGM itu, semua cawangan parti itu di seluruh negeri secara automatik menjadi cawangan BERSATU.

Beliau berkata, adalah lebih baik parti itu yang ditubuhkan pada 25 Oktober 2016 dikorbankan berbanding terus bertahan namun tidak dapat menyumbang apa-apa kepada negeri dan negara.

“Bukan mudah untuk mengambil keputusan membubarkan parti kerana kita sayang parti ini. Namun, kita kena fikir masa depan, tiada maknanya jika ia tidak dapat menyumbang, jadi lebih baik kita berkorban ke arah yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi Harapan Rakyat yang turut dihadiri Timbalannya, Datuk Maijol Mahap, di sini, hari ini.

Lajim berkata, langkah membubarkan Harapan Rakyat sejajar harapan parti itu agar dapat menyumbang dengan lebih baik terhadap pembangunan negara dan untuk membangunkan Sabah serta memenuhi aspirasi hak rakyat negeri ini menerusi BERSATU.

“Apa yang ada dalam fikiran kami adalah komitmen dan janji kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang telah mengiktiraf Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dengan Semenanjung dan untuk memenuhi hak-hak Sabah dan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kami yakin Parti Warisan Sabah (WARISAN), PKR, DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH), Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) dan BERSATU boleh bergabung tenaga untuk Sabah memandangkan negeri ini masih ketinggalan dari aspek pembangunan,” katanya.

Sementara itu, Lajim berkata pihaknya menyerahkan kepada Dr Mahathir untuk memutuskan siapa yang akan memimpin BERSATU di Sabah kerana yang lebih penting harapan mereka membawa BERSATU ke negeri sudah tercapai.

“Kami ada bertemu dengan Datuk Hajiji Noor (bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah) dan setuju bekerjasama menerusi BERSATU. Soal kepemimpinan terserah kepada Dr Mahathir,” katanya.

Mengulas lanjut, Lajim berkata kemasukan BERSATU tidak menjejaskan parti komponen PH yang lain termasuk WARISAN kerana ia akan bekerjasama dengan semua parti itu.

Katanya, isu mengenai BERSATU sebagai parti luar tidak timbul kerana rakyat Sabah masih memerlukan parti dari Semenanjung untuk mengukuhkan kedudukan kerajaan seperti kedudukan WARISAN yang bekerjasama dengan DAP dan PKR untuk membentuk kerajaan negeri sebelum ini. – Berita Harian