RCP, SCP kukuhkan keselamatan ESSZONE

Suasana di Kampung Tanjung Batu selepas lima tahun berlalunya Perang Tanduo. NSTP/KHAIRULL AZRY BIDIN.

SANDAKAN: Pembukaan pusat pemeriksaan daratan atau Road Check Point (RCP) dan di laut menerusi Sea Check Point (SCP) antara usaha berkesan memperkukuh keselamatan di pantai timur Sabah.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Hazani Ghazali, berkata kedua-dua inisiatif menggabungkan usaha pelbagai agensi keselamatan itu berupaya menangani ancaman khususnya pencerobohan oleh penjenayah rentas sempadan.

Katanya, RCP di Kalabakan yang bermula tahun lalu menunjukkan keberkesanan apabila pelbagai siri tangkapan dilakukan sekali gus menyekat laluan itu daripada terus menjadi elemen jenayah.

“Bermula 28 Februari ini pula, kita akan melaksanakan RCP di Sapi Nangoh, Beluran yang mana ia akan memperketat lagi kawalan di daratan daripada sebarang elemen jenayah termasuk penyeludupan barang dan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Sandakan ke Kota Kinabalu.

“Pewujudan RCP kedua ini bertujuan menangani masalah jalan tikus dan laluan baharu yang digunakan penjenayah untuk mengelak sekatan jalan di Kalabakan,” katanya kepada BH.

Hazani berkata, bagi SCP dan pengkelasan laluan ditetapkan (designated route) pula, ia memberi tumpuan terhadap pemeriksaan semua kapal yang memasuki negara ini bagi membendung aktiviti penyeludupan senjata dan unsur jenayah lain termasuk pencerobohan.

Katanya, ESSCOM sudah bersedia untuk melaksanakannya dan akan mengumumkan laluan berkenaan yang kini menunggu semakan perundangan berkaitan.

ANTARA aktiviti harian kanak-kanak di Kampung Tanjung Batu selepas perang Tanduo, di Lahad Datu. – Foto Khairull Azry Bidin

“Bagi melaksanakan SCP dan ‘designated route’, ia perlu mempunyai undang-undang untuk menentukan keberkesanannya. Kita tak boleh laksanakan tanpa ada undang-undang dan ia kini dalam perbincangan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri.

“Apabila dilaksanakan kelak, ia bukan saja mampu mempertingkatkan kawalan di perairan berhampiran sempadan, malah mengelak kemasukan ancaman daripada luar yang boleh menggugat kedaulatan negeri ini,” katanya.

Selain usaha itu, katanya, ESSCOM akan terus memberi tumpuan terhadap Ops Gasak dan Ops Gasak Laut dengan tumpuan terhadap kawasan ‘hot spot’ yang sering berlaku jenayah rentas sempadan.

“Ops Gasak Laut dilaksanakan dari Sandakan, Lahad Datu, Semporna, Tawau dan berakhir di Kudat. Ia menumpukan pemeriksaan terhadap kumpit dan bot di tengah laut serta penempatan haram di pulau terpencil.

“Dalam pada itu, operasi bersepadu pula iaitu gabungan antara pasukan keselamatan dan agensi penguat kuasa akan diteruskan secara harian mengikut daerah,” katanya – Berita Harian