Rampas 23 tenggiling hidup dalam kereta

JABATAN Hidupan Liar merampas 23 tenggiling hidup disembunyikan di but sebuah PROTON Waja di Jalan Kemabong – Tenom dekat Tenom, hari ini. – Gambar Ihsan Jabatan Hidupan Liar Sabah

KOTA KINABALU: Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah menahan seorang lelaki dan merampas 23 tenggiling hidup disembunyikan di but sebuah Proton Waja di Jalan Kemabong-Tenom dekat Tenom, semalam.

Suspek berusia 40 tahun berasal dari Lawas, Sarawak itu ditahan pada jam 11.50 pagi menerusi sekatan jalan raya oleh sepasukan anggota Unit Penguatkuasaan JHL Sabah dengan dibantu dua warden hidupan liar.

Pegawai Perhubungan Awam JHL Sabah, Siti Nur’ain Ampuan Acheh, berkata penahanan lelaki berkenaan dibuat susulan maklumat orang awam.

“Tenggiling hidup itu ditemui dalam karung biru dan hitam di but kereta dipandu lelaki berkenaan.

“Semua tenggiling dipercayai diseludup dari Lawas dan dibawa ke Keningau untuk dijual. Lelaki itu ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan, malam tadi.

Tenggiling adalah spesies dilindungi sepenuhnya yang disenaraikan di bawah Jadual 1 Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.

Mana-mana individu yang didapati memiliki apa-apa spesies atau produk disenaraikan di bawah Jadual 1 tanpa kebenaran pihak berkuasa yang sah boleh dipenjarakan sehingga lima tahun dan denda tidak kurang RM50,000 tetapi tidak melebihi RM250,000, atau kedua-duanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *