24 kampung dipilih sebagai perintis program kampung angkat polis Sabah

OMAR Mammah

KOTA KINABALU, 16 Feb – Sebanyak 24 kampung dari empat daerah di Sabah iaitu Kota Kinabalu, Penampang, Tuaran dan Papar dipilih menjadi perintis Program Kampung Angkat Polis Kontinjen Sabah dalam usaha membanteras jenayah dan penyalahgunaan dadah di kawasan terlibat.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata program itu bertujuan mengeratkan lagi hubungan kerjasama antara polis dan penduduk untuk memastikan kawasan mereka bebas daripada jenayah dan penyalahgunaan dadah demi keselamatan dan kesejahteraan setempat.

Beliau berkata setiap kampung terbabit dipilih menjadi kampung angkat berdasarkan statistik kegiatan jenayah dan penyalahgunaan dadah berlaku di kawasan masing-masing.

“Sabah adalah negeri pertama melaksanakan program kampung angkat dan ia adalah saranan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam mesyuarat (Jawatankuasa Keselamatan Negeri) baru-baru ini,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan Watikah Pelantikan Kampung Angkat kepada wakil setiap kampung terlibat di sini, hari ini.

“Menerusi program ini, seorang pegawai kanan polis dilantik sebagai pegawai perhubungan kampung angkat untuk memantau dan membuat laporan setiap seminggu sekali selain menjalankan pencegahan jenayah,” tambahnya.

Omar berkata program itu merupakan satu daripada usaha berterusan polis Sabah mencegah jenayah, di samping mengurangkan aktiviti penyalahgunaan dadah, dan menurutnya jumlah kampung angkat akan ditambah dari semasa ke semasa, selain polis juga akan memastikan manfaat pelaksanaan program dapat diperluaskan ke seluruh negeri pada tahun ini.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *