Tindakan pantas anak selamatkan bapa lumpuh daripada rentung

ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran yang memusnah sebuah rumah di Kampung Bambangan, Papar. – Foto Ihsan Bomba

PAPAR: Tindakan pantas seorang lelaki berjaya menyelamatkan bapanya yang lumpuh daripada rentung dalam kejadian kebakaran di Kampung Bambangan, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 itu, mangsa Zuhaili Abdullah, 28, melecur di tangan dan kaki selepas terkena bahang api ketika cuba membawa keluar bapanya yang berusia 62 tahun itu.

Ibu dan adik mangsa yang masing-masing berusia 58 dan 23 tahun sempat keluar dari rumah tanpa mengalami sebarang kecederaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.48 petang dan mengerahkan sebuah jentera bersama sembilan anggota serta pegawai ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, api sudah membakar sebahagian besar daripada rumah berstruktur kayu berkenaan.

“Api kebakaran di kawal pada jam 6.12 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.45 malam selepas tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.

“Terdapat empat mangsa yang terbabit dalam kejadian ini, namun hanya seorang yang cedera manakala selebihnya selamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa yang cedera diberikan rawatan awal oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) sebelum dihantar ke Hospital Papar untuk rawatan lanjut.

Katanya, pihak forensik JBPM masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran dan jumlah kerugian dalam kejadian itu. – Berita Harian