KOTA KINABALU: Keluarga Nicholas Chong Zhen Yi, 14, iaitu pelajar yang lemas di pusat kolam renang Kompleks Sukan Kota Kinabalu pada Selasa lalu, mahu pihak sekolah berkenaan memberikan penjelasan kepada mereka berhubung insiden itu.
Bapa mangsa, Chong Kan Fei, 45, berkata beliau mahukan penjelasan mengenai tujuan sebenar pihak sekolah membawa rombongan pelajar untuk menjalani latihan renang di kolam renang yang dikhaskan untuk atlit penerjun mengadakan latihan.
Selain itu beliau turut mempersoalkan sama ada jurulatih (guru) terbabit mengetahui pelajar-pelajar tersebut mempunyai asas berenang untuk dibawa ke kolam renang yang tidak sepatutnya.
“Saya ingat sebahagian pelajar ini tidak pandai berenang termasuk anak saya. Mereka (guru yang membawa) ada pastikah tidak? Sebab kolam ini saya ingat, kolam profesional. Memang dalam. Yang saya tahu lima meter atau lebih daripada itu.
“Semasa sesi ini dijalankan saya dimaklumkan oleh rakan-rakan anak saya bahawa ketika kejadian itu, tiada jurulatih mahupun pengawal kolam di situ,” katanya dalam sidang media di Fook Lu Siew di sini hari ini.
Menurut rakan mangsa yang menceritakan insiden tersebut tersebut, pelajar lain cuba memanggil guru bertugas untuk menyelamatkan Nicholas selepas melihat keadaan mangsa yang meronta-ronta, namun tidak diendahkan oleh guru terbabit.
Jelasnya ketika para pelajar itu melihat anaknya sudah mulai tenggelam mereka cuba memanggil guru yang bertugas buat kedua kalinya, namun tiada tindakan dibuat dan masih tidak diendahkan.
“Kali ketiga mereka memanggil barulah cikgu itu datang dan melihat apa yang berlaku dengan anggapan pelajar tersebut hanya bermain-main. Itu satu sikap yang tidak betul.
“Bila cikgu sampai di kolam itu, dia bukan terus pergi ambil (selamatkan) budak itu. ‘Sorry’. Dia panggil juruhlatih di kolam sebelah. Ini sudah membuktikan kolam itu tiada jurulatih,” katanya.
Kan Fei turut berang apabila guru terbabit tidak segera bertindak menyelamatkan anaknya yang ketika itu sudah tidak bermaya.
“Kenapa cikgu tidak mahu turun? Adakah dia tidak pandai berenang? Adakah dia takut atau dia tidak mampu? Kalau cikgu yang bawa budak-budak menjalankan aktiviti seperti ini dan dia sendiri tidak pandai berenang, kenapa suruh anak-anak kita ini yang tidak pandai berenang masuk ke dalam kolam yang dalam?
“Satu lagi. Adakah kolam renang yang disewa ini melalu proses yang betul. Adakah masa mereka sewa kolam renang profesional yang begitu dalam sesuai untuk latihan berenang untuk budak-budak yang tidak tahu berenang?
“Adakah pengawal kolam ada sekali untuk memerhati aktiviti ini? Sebab kes ini nampaknya tidak menekankan keselamatan. Tiada!,” jelasnya.
Chong berkata anaknya yang menuntut di sebuah sekolah swasta di Kota Kinabalu adalah pelajar cemerlang dengan mewakili Sabah ke Sukan Malaysia dalam acara bowling.
Dalam pada itu katanya beliau kesal kerana tidak dimaklumkan oleh pihak sekolah bahawa rombongan tersebut akan ke kolam renang Kompleks Sukan Kota Kinabalu pada hari tersebut.
“Pada tahun pertama, anak saya ada menyertai sesi latihan berenang namun diadakan di kolam renang Sutera Harbour yang mana kolamnya tidak dalam. Saya tidak mengetahui anak saya dibawa ke kolam profesional yang dalam ini,” tambahnya. – SabahNewsToday
Berita Asal : https://www.sabahnewstoday.com/keluarga-pelajar-lemas-di-kolam-renang-likas-minta-penjelasan-pihak-sekolah/