Keadaan keselamatan di Sabah bertambah baik beri keyakinan kepada pelancong – Mohamad Sabu

Mohamad Sabu melakukan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di sini, hari ini

KOTA KINABALU, 12  Feb – Keadaan keselamatan di negeri ini yang bertambah baik telah memberi keyakinan kepada pelancong dari luar negara, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Menurut beliau ramai pelancong dari luar negara khususnya dari China datang ke negeri ini dan membawa perkembangan ekonomi yang baik kepada Sabah.

“Ini membuktikan keyakinan pelancong terhadap aspek keselamatan di Sabah. Keadaan keselamatan di negeri ini bertambah baik dari hari ke hari dan kita akan pertingkatkan lagi khususnya di kawasan perairan bersempadan dengan Filipina dan Indonesia,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di sini, hari ini.

Menurut beliau kerajaan persekutuan sentiasa memberi keutamaan kepada soal keselamatan di negeri ini yang penting kepada perkembangan ekonomi.

Katanya ini termasuklah dalam aspek penambahan aset pertahanan dan pada tahun ini akan ada penambahan bot ronda sederhana untuk menampung kawalan keselamatan di perairan timur negeri ini.

“Kita di Kementerian Pertahanan sentiasa memohon pembelian aset tetapi kita kena juga lihat kemampun kewangan kerajaan dari semasa ke semasa.

“Kita yakin bila ada pertumbuhan ekonomi negara, keutamaan diberi kepada soal keselamatan khasnya di Sabah ini. Kita sedang usahakan ke arah itu dan pandangan serta reaksi kementerian kewangan memang positif dalam hal ini,” katanya.

Mengenai pertemuan dengan Ketua Menteri Sabah, Mohamad berkata Mohd Shafie berpuas hati dengan peranan Angkatan Tentera Malaysia dalam menjaga keselamatan di negeri ini. 

Katanya pada pertemuan itu banyak dibincang mengenai soal perkembangan ekonomi di perairan timur Sabah dalam aspek perdagangan barang dari negeri ini ke Filipina.

Menurutnya perkara yang diberi keutamaan adalah perlu ada kawalan keselamatan yang baik dalam urusan perdagangan itu.

Terdahulu, Mohamad yang diiringi Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin turut melakukan kunjungan hormat terhadap Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

— BERNAMA