Kerajaan Sabah akan sentiasa berhubung dengan Wisma Putra

Gambar Facebook Dato’ Mohd Azis Bin Jamman

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan berhubung dengan Wisma Putra, untuk mendapat maklumat lebih lanjut berkaitan 47 rakyat Malaysia, termasuk dikenal pasti ada yang berasal dari Sabah, yang ditahan di Kemboja, sejak 11 Disember lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata kerajaan negeri juga akan membantu apa yang sepatutnya dan yang diperlukan kerana ia turut membabitkan penduduk Sabah.

“Kita juga akan mendapatkan maklumat lanjut kenapa mereka ditahan dan apa sebabnya. Justeru, kita akan berhubung dengan pihak berkuasa berkaitan, khususnya Wisma Putra untuk mendapat maklumat lanjut.

“Ini kerana mereka akan berkomunikasi dengan rakan sejawat di sana, dalam usaha memastikan rakyat kita yang ditahan dibawa balik dengan selamat. Setakat ini tiada apa-apa maklumat yang kita terima,” katanya.

Beliau mengulas mengenai 47 rakyat Malaysia, termasuk dikenal pasti sebahagian besar berasal dari Sabah dan Sarawak, ditahan di Kemboja, sejak 11 Disember lalu, selepas hadir Majlis Tahun Baharu Cina Parlimen Sepanggar, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman.

Pada 11 Disember lalu, 47 rakyat Malaysia, dengan tiga daripadanya dari Sabah ditahan pihak berkuasa Kemboja atas dakwaan terbabit dalam kegiatan perjudian dalam talian di negara itu.

Terdahulu dalam ucapannya di majlis itu, Mohd Shafie berharap kerjasama dalam kalangan rakyat pelbagai kaum bukan hanya ketika meraikan perayaan tetapi ia perlu menjadi kerjasama untuk jangka masa panjang.

“Ini bagi memastikan lebih banyak pembangunan dan kemajuan dapat dibawa di negeri ini dengan adanya perpaduan serta kesatuan dalam kalangan rakyat.

“Saya juga berharap masyarakat Cina di negeri ini akan terus memberi sokongan kepada kerajaan untuk sama-sama membangunkan Sabah. Ia kerana masyarakat Cina turut memainkan peranan penting dalam pembangunan negeri ini,” katanya. – Berita Harian

Gambar Facebook Dato’ Mohd Azis Bin Jamman
Gambar Facebook Dato’ Mohd Azis Bin Jamman
255