Budak serigala

New Delhi: Seorang budak lelaki yang menghidap sejenis penyakit ganjil dikenali sebagai sindrom serigala jadian yang menyebabkan bulu tebal tumbuh di mukanya berharap dia boleh menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain.

Lalit Patidar, 13, yang berasal dari Ratlam di Madhya Pradesh disahkan menghidap hipertrikosis atau dikenali sebagai sindrom serigala jadian, satu keadaan yang menyebabkan pertumbuhan rambut luar biasa di muka, tangan dan bahagian lain badan.

Keadaan itu menyebabkan Lalit sering menjadi mangsa buli dan dia sering dibaling batu serta diejek dengan panggilan monyet oleh kanak-kanak lain.

Bagaimanapun, Lalit adalah pelajar pintar di sekolah dan hidup bahagia bersama keluarganya. Remaja itu juga bercita-cita untuk menjadi pegawai polis.

Lalit berkata, dia berharap dapat menjalani satu pembedahan pada masa depan untuk membuang bulu pada mukanya supaya dapat bermain dengan kanak-kanak lain dan berkawan dengan mereka.

“Saya dilahirkan dengan lebihan rambut pada muka dan itu menjadikan saya berbeza.

“Kadang-kala saya berharap dilahirkan seperti kanak-kanak normal lain tetapi tiada apa yang boleh saya lakukan.

“Saya sudah biasa dengan diri saya dan selesa dengan keadaan ini,” katanya.

Ibunya, Parvatibai Patidar, 42, berkata, dia terkejut apabila melihat anaknya mempunyai bulu yang banyak ketika dilahirkan.

“Apabila kali pertama melihat Lalit selepas dilahirkan, saya terkejut melihat badannya mempunyai banyak bulu.

“Saya kemudian membawa Lalit bertemu doktor pakar dan mereka memberitahu tiada penawar untuk penyakit itu,” katanya. – Agensi

Lalit bersama ibunya, Parvatibai dan bapanya, Bankatlal. Foto Baarcroft Images

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *