58 ditahan dalam Ops Sarang

Pihak polis menahan beberapa individu dalam Ops Sarang di Kampung Bakau, Likas serta di Inanam, Kota Kinabalu. – Ihsan PDRM

KOTA KINABALU: Seramai 58 individu ditahan polis atas pelbagai kesalahan membabitkan penyalahgunaan dadah dalam beberapa siri operasi sejak 2 Februari lalu sehingga hari ini di sekitar Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, turut berjaya dirampas iaitu kira-kira 20 gram dadah termasuk menerusi Ops Sarang yang dilakukan semalam.

“Operasi bermula 9 pagi semalam itu berjaya menahan 11 individu dan merampas 10.71 gram dadah jenis syabu bernilai RM1,600 di Kampung Bakau, Likas dan kawasan Jelapang Padi, Inanam.

“Dalam operasi berasingan sepanjang minggu ini polis turut berjaya merampas sebanyak 9.3 gram dadah bernilai RM1,395 dan 47 individu termasuk lapan daripadanya melakukan kesalahan memiliki dadah,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Habibi berkata, semua tangkapan berusia antara 14 hingga 60 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tambah beliau lagi, operasi itu dilaksanakan hasil kerjasama daripada sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

“Operasi ini adalah berdasarkan risikan dan maklumat awam di kawasan sarang penagihan dan pengedaran dadah di sekitar Kota Kinabalu.

“Selain itu ia dijalankan untuk mengenal pasti dan mengambil tindakan terhadap ahli sindiket pengedaran dadah yang wujud di sarang terbabit,” katanya.

Katanya lagi, operasi terbabit akan terus diperhebatkan dari semasa ke semasa demi kesejahteraan penduduk daerah ini. – Berita Harian

Pihak polis menahan beberapa individu dalam Ops Sarang di Kampung Bakau, Likas serta di Inanam, Kota Kinabalu. – Ihsan PDRM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *