Selesaikan segera isu pelantikan ketua adat – Shafie Apdal

TAWAU: Kerajaan negeri mahu isu pelantikan ketua adat dan pemimpin masyarakat termasuk Ketua Kampung diselesaikan sebelum akhir bulan ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata beliau tidak mahu isu itu terus disensasikan pihak tertentu dan menjadi bahan bualan orang ramai di kedai kopi.

Katanya, beliau sudah mengarahkan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong; Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Sabah, Datuk Aidi Moktar dan Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Ewon Benedick, menyelesaikan isu itu secepat mungkin.

“Saya mahu isu ini dimuktamadkan bulan ini juga dan jangan lambat kerana akan ada masalah apabila ada penduduk yang mahu melangsungkan perkahwinan tetapi Ketua Kampung tiada,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina DAP Tawau di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew dan Jaujan; Pengerusi DAP Sabah, Datuk Stephen Wong Tien Fatt dan Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Jimmy Wong.

Mohd Shafie turut menzahirkan kebimbangan terhadap pihak yang terus memainkan sentimen perkauman demi kepentingan politik peribadi.

“Isu pelantikan (ketua adat dan pemimpin masyarakat) kita boleh buat, contohnya kalau masyarakat Cina boleh jadi Kapitan, takkan orang Bugis tidak boleh jadi ketua masyarakat.

“Kita ada undang-undang dan kita bukan mahu langgar undang-undang tetapi pada masa yang sama, jangan pula kita mahu menidakkan hak suku kaum Bugis,” katanya.

Beliau merujuk bantahan pelbagai pihak terhadap cadangan untuk mengiktiraf masyarakat Bugis dan Jawa sebagai anak negeri bagi membolehkan mereka dilantik sebagai ketua adat atau pemimpin masyarakat di negeri ini.

Sementara itu, mengulas masalah bangunan terbengkalai yang menjejaskan keceriaan bandar ini, Mohd Shafie berkata keputusan mahkamah sudah diperoleh bagi melaksanakan kerja meroboh bangunan terbabit.

“Cuma ada sedikit masalah dengan pemilik bangunan terdahulu, namun saya sudah arahkan Menteri Pembangunan Insfrastruktur negeri untuk menyelesaikan isu ini secepat mungkin,” katanya.

Terdahulu, Jimmy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung, dalam ucapannya memohon Mohd Shafie untuk campur tangan bagi menyelesaikan masalah kemudahan awam dan infrastruktur di Tawau.

Antara isu utama, katanya, ialah menyelesaikan masalah bangunan terbengkalai yang tersenarai antara janji dalam manifesto DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *