Polis Marin gagalkan cubaan seludup keluar barangan ke negara jiran

Gambar Pasukan Polis Marin W4 Sabah

SANDAKAN, 7 Feb – Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan keluar pelbagai jenis barangan ke negara jiran di perairan Pulau Tanjung Aru dekat sini, awal minggu ini.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata ketika ditahan, suspek seorang juragan warga asing sebuah perahu yang membawa barangan itu mengakui tidak mempunyai kebenaran pihak berkuasa untuk berbuat demikian.

“Dalam satu operasi Op Pensura dilaksanakan PPM Sandakan di perairan Pulau Tanjung Aru telah mengesan sebuah perahu menghala ke arah perairan Filipina pada kira-kira 12.10 tengah hari Isnin (4 Feb).

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas perahu itu menjumpai dua tong gas LPG, lima gelen minyak petrol, 16 bungkus gula pasir, 32 tin susu cair dan pekat pelbagai jenama, 35 jenis barangan runcit serta perhiasan wanita dan alat tulis disyaki untuk pasaran di negara jiran,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Mohamad Pajeri berkata turut dirampas ialah sebuah perahu serta dua enjin sangkut, dan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM13,777.40.

Beliau berkata tangkapan dan barangan rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut dan disiasat di bawah Akta Kastam 1967.

— BERNAMA

Gambar Pasukan Polis Marin W4 Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *