Tiga bulan gempur sarang dadah, PATI

KETUA Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji memeriksa barisan kawalan kehormat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Februari 2019, di Dataran Pahlawan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini. – Foto Edmund Samunting

KOTA KINABALU: Lima kampung di daerah ini yang dikenal pasti sebagai sarang dadah dan pendatang asing tanpa izin (PATI) akan digempur habis-habisan tahun ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata lima kampung yang akan diberi tumpuan ialah Kampung Lokup di Sepanggar, Kampung Bakau dan Cenderamata di Likas serta Kampung Sembulan dan Tanjung Aru.

“Dalam usaha membasmi habis-habisan kegiatan jenayah dadah dan PATI di lima kampung ini, kita tetapkan untuk melantik seorang pegawai polis di setiap kampung yang saya panggil sebagai kampung ‘hot spot’.

“Saya beri tempoh tiga bulan hingga bulan depan kepada pegawai dan anggota dengan kerjasama masyarakat setempat.

“Insya-Allah kampung ini akan bersih daripada kegiatan jenayah dadah dan PATI,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Februari 2019, di Dataran Pahlawan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.

Hadir sama, Timbalannya Superintendan George Abd Rakman.

Habibi berkata, pihaknya akan mengambil tindakan drastik tahun ini dalam menjalankan operasi bersepadu membanteras kegiatan jenayah dadah dan PATI.

“Saya akan membanteras habis-habisan dengan kekuatan seluruh pegawai dan anggota IPD Kota Kinabalu,” katanya.

Sementara itu, katanya, sepanjang tahun lalu, seramai 2,166 orang ditahan atas pelbagai jenis kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Akta Racun.

Katanya, menerusi tangkapan penagih berulang mengikut Seksyen 39C ADB 1952, seramai 43 orang dihadapkan ke mahkamah tahun lalu.

“Rampasan dadah sepanjang 2018 iaitu dadah jenis syabu sebanyak 6.6 kilogram, daun ketum (5.21 kilogram, ganja (1.4 kilogram), ecstasy (525 gram) dan ketamin (345 gram) dengan nilai keseluruhan RM424,327,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *