Polis buru 3 lelaki kes bunuh, rogol dan seks luar tabii

KETUA Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji menunjukkan gambar Sisal Benigno pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Februari 2019 di Dataran Pahlawan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini. – Foto Edmund Samunting

KOTA KINABALU: Polis sedang giat mengesan tiga lelaki berusia antara 38 hingga 57 tahun bagi membantu siasatan membabitkan kes bunuh, rogol dan seks luar tabii di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata dua suspek terbabit adalah warga tempatan, manakala seorang lagi pemastautin tetap.

“Mereka yang diburu ialah Sisal Benigno, 41, kerana disyaki terbabit kes bunuh di daerah ini pada Februari tahun lalu yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).

“Selain itu, Dainis Sitim, 38, diburu berhubung tiga kesalahan membabitkan kes rogol dan seks luar tabii pada Julai 2016 yang disiasat mengikut Seksyen 376 KK, Seksyen 376(3) KK dan Seksyen 377(C)(A) KK,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Februari 2019 di Dataran Pahlawan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman.

Seterusnya, Habibi berkata, seorang lagi suspek ialah Lajin Pilong, 57, berhubung kes seks luar tabii pada Mac 2017 yang disiasat mengikut Seksyen 377(E) KK.

“Ketiga-tiganya disenaraikan sebagai orang dikehendaki bagi membantu siasatan kes terbabit.

“Sehubungan itu, orang ramai yang ada maklumat boleh menghubungi IPD Kota Kinabalu melalui talian Hotline 088-221191/ 529211 atau tampil di balai polis berdekatan,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *