Akhmad Monggoh sebagai Ketua Daerah Tawau adalah layak

TAWAU, 6 Feb – UMNO Bahagian Tawau tidak perlu membangkit isu remeh berkaitan pelantikan Akhmad Monggoh sebagai Ketua Daerah Tawau kerana pemilihannya adalah menepati kriteria untuk memegang jawatan tersebut.

Ketua Bahagian Parti Warisan Sabah (Warisan) Tawau, Frank Salazar berkata  Akhmad sebulat suara dipilih pucuk pimpinan dan pemilihannya tidak patut dipertikaikan sehingga menimbulkan kekecohan dalam kalangan penduduk.

“Akhmad anak jati Sabah, berasal daripada Semporna tetapi bermastautin di Tawau ini lebih 45 tahun dan berkhidmat lebih 35 tahun sebagai guru di daerah ini.

“Akhmad seorang yang berpendidikan tinggi, mempunyai pengalaman yang luas dan banyak memegang jawatan yang penting dalam kerajaan serta ada rekod kerja yang bersih,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menangkis kenyataan Ketua Umno Bahagian Tawau, Ghazalie Ansing yang membantah perlantikan Akhmad sebagai Ketua Daerah Tawau berikutan bukan anak jati Tawau.

Frank dalam pada itu mempersoalkan tindakan UMNO itu sebagai cuba mengapikan sentimen rakyat.

“Apa sebenarnya motif UMNO…? UMNO kini parti yang rata-rata ditolak rakyat, dan mengapa baru ini mempertikaikan perkara sedemikian sedangkan dari zaman Barisan Nasional memerintah dahulu lagi ada calon mereka dari Tawau atau dari luar Kota Kinabalu tetapi dicalonkan untuk mewakili dewan undangan negeri bukan ditempat asal calon, kenapa baru sekarang mahu mempertikaikan pada pemerintahan Warisan.

“Malahan kita boleh lihat selama ini calon-calon yang memegang jawatan Presiden Majlis Perbandaran Tawau kesemuanya adalah dari luar daerah Tawau,” katanya lagi.

Sementara itu, Frank berkata perkara penting pemilihan Akhmad bagi membawa pembangunan dan meningkatkan ekonomi dan taraf hidup masyarakat Tawau.

“Demi kepentingan kita semua, marilah kita bekerjasama untuk membangunkan Tawau dan meningkatkan kesejahteraan serta keharmonian kehidupan kita semua di Sabah,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *