Sabah tetap hak Malaysia, hentikan pertikaian – Shafie

KETUA Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hadir pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2019 Daerah Sandakan, di Padang Bandaran Sandakan, hari ini. – Foto Hazshah Abdul Rahman

SANDAKAN: Sabah tetap milik Malaysia dan jangan dipertikaikan lagi perkara berkenaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, menegaskan perkara itu lagi kerana masih ada pihak yang cuba menuntut negeri ini.

“Ada lagi mahu menuntut Sabah dan mendakwa Sabah (mereka) punya, mana ada Sabah dia punya. Sabah adalah milik Malaysia dan tiada siapa perlu mempersoalkan atau mempertikaikannnya.

“Tahun ini adalah tahun untuk membangunkan dan memajukan Sabah, bukan lagi masa untuk mempersoalkan Sabah milik siapa. Jangan duduk di kedai kopi bercerita pasal siapa jadi Ketua Daerah, siapa jadi Ketua Kampung,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2019 Daerah Sandakan, di Padang Bandaran Sandakan, di sini, hari ini.

Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin hadir sebagai tetamu kehormat majlis berkenaan.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong; Menteri Kesihatan dan

Kesejahteraan Rakyat, Datuk Stephen Wong Tien Fatt; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman.

Dalam pada itu, Mohd Shafie turut meminta ahli perniagaan atau tauke di Sandakan membuat pelaburan dalam memajukan daerah berkenaan.

“Kita tahu di Sandakan ini ramai tauke banyak duit. Janganlah simpan saja duit itu sebaliknya melaburlah dan sama-sama bangunkan Sandakan serta negeri ini,” katanya.

Mengulas lanjut dalam sidang media, Mohd Shafie berkata kerajaan akan memikirkan bidang perniagaan apa yang boleh diterokai oleh ahli perniagaan di Sandakan seterusnya membuka peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.

Mengenai Jalan Raya Sandakan-Telupid, beliau berkata pihak berkaitan sudah diminta supaya kerja pembaikan dibuat segera. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *