Sarawak bakal miliki penerbangan sendiri?

ABANG Johari Abang Openg (tengah) merasmikan ‘Air Asia Sarawak Campaign Livery’ di Kuching International Airport. -NSTP/Nadim Bokhari

KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang meneliti cadangan menubuhkan syarikat penerbangan sendiri bagi menghubungkan negeri ini dengan beberapa bandar raya utama Asia Tenggara.

Selain Bangkok, turut berada dalam senarai penelitian ialah Jakarta, Manila dan Hong Kong yang dilihat berupaya memberikan kesan positif terhadap pertumbuhan ekonomi negeri, khususnya sektor pelancongan.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata Sarawak kaya dari segi warisan budaya dan sumber alam, namun hubungan jaringan udara yang terhad menjadi cabaran untuk ia terus membangun dan meningkatkan pelancongan domestik serta antarabangsa.

“Kini, pelancong gemar memilih penerbangan terus kerana lebih mudah, menjimatkan masa dan kos, namun tidak banyak penerbangan disediakan menghubungkan negeri ini dengan destinasi luar.

“Sebaliknya, pelancong perlu transit terlebih dulu di Singapura atau Kuala Lumpur untuk datang ke Sarawak. 

Ini tentunya menyebabkan mereka (pelancong) tidak menjadikan Sarawak sebagai destinasi utama,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Livery Campaign Air Asia Sarawak 2019 sempena Tahun Melawat Sarawak 2019 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), di sini hari ini.

Abang Johari berkata, walaupun beberapa syarikat penerbangan membuka laluan penerbangan baharu menghubungkan Sarawak ke destinasi antarabangsa sebelum ini, kebanyakannya tidak dapat kekal beroperasi atas pelbagai alasan.

“Mereka (syarikat penerbangan) sentiasa keluar ‘setengah jalan’. Kita memahami mereka mempunyai kebimbangan sendiri kerana ini adalah perniagaan…yang ada untung dan rugi, selain risiko yang berkaitan.

“Namun, kita memerlukan lebih banyak masa untuk membina aliran pelancong yang mampan.

Justeru, Sarawak sangat serius dalam menubuhkan syarikat penerbangan sendiri, bukan yang besar tetapi cukup untuk menghubungkan negeri ini ke beberapa destinasi utama dan berpotensi,” katanya.

Beliau menjelaskan inisiatif itu bukan sesuatu yang baharu kerana Kerajaan Sarawak pernah mengemukakan hasrat mengambilalih operasi MASwings daripada Malaysia Airlines Berhad (MAB), namun rundingan dijalankan tidak membuahkan hasil positif.

Katanya, antara sebab ketika itu ialah kebimbangan MAB sekiranya Sarawak menjadi pesaing mereka apabila kerajaan negeri mengambil alih MASwings.

Sementara itu, LTAK kini dihubungkan dengan empat destinasi antarabangsa iaitu Singapura, Bandar Seri Begawan dan Pontianak, termasuk penerbangan terus antara Kuching – Shenzhen – Kuching yang dilancarkan pada Oktober 2017.

Selain itu, kerajaan Sarawak juga sedang mengendalikan pelan induk untuk menaik taraf kemudahan di taman negara bagi memberikan pengalaman yang lebih selesa kepada pelawat.

Salah satu objektif Kempen Tahun Melawat Sarawak 2019 ialah untuk menambah 4.6 juta pelancong yang dicatatkan tahun lalu kepada lima juta menjelang akhir tahun ini. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *