Lelaki Maut Dalam Nahas Di KM 5 Jalan Baru Papar

Keadaan Proton Wira selepas kemalangan. -Gambar SNT/Ehsan Polis

PAPAR: Seorang lelaki warga asing maut dalam nahas jalan raya di Kilometer 5 Jalan Baru Papar-Kota Kinabalu hari ini.

Ketua Polis Papar Deputi Superitendan Batholomew Ak Umpit berkata kemalangan tersebut melibatkan dua buah kenderaan jenis Proton Wira Aeroback dan motosikal Honda.

Menurut Bartholomew mangsa, 52, yang juga pembonceng motosikal tersebut meninggal selepas berlaku perlanggaran di antara kedua-dua kenderaan itu kira-kira pukul 7.50 pagi.

Motosikal Honda yang terlibat dalam kemalangan tersebut. – Gambar SNT/Ehsan Polis

“Kemalangan yang berlaku berdekatan dengan Taman Pengalat Besar Papar itu terjadi apabila pemandu Proton Wira Aeroback dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Perumahan Pengalat Besar ke Kampung Pengalat Besar.

“Siasatan lanjut mendapati kejadian berlaku semasa pemandu Proton Wira Aeroback, 62, hendak keluar dari simpang Taman Perumahan Pengalat Besar, tiba-tiba sebuah motosikal Honda terus melanggar Proton Wira tersebut di bahagian pintu kiri depan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya walaupun pemandu Proton Wira sudah menekan brek dan cuba mengelak namun motosikal tersebut tetap melanggar kenderaannya kerana motosikal tersebut sudah hampir dengan Proton Wira itu.

Tambahnya dalam kejadian itu, pemandu Proton Wira tidak mengalami apa-apa kecederaan.

“Mangsa yang maut iaitu pembonceng motosikal telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Hospital Papar dan penunggang motosikal, 21, telah dibawa oleh ambulan ke Unit Kecemasan Hospital Papar.

“Kemudiannya, mangsa yang maut telah dihantar oleh pihak polis ke Unit Forensik Hospital Papar manakala pemandu Proton Wira terus dibawa ke pejabat trafik Papar untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya penunggang motosikal telah mendapat rawatan awal di Unit Kecemasan Hosptal Papar dan dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth Satu untuk rawatan susulan.

“Setakat ini, masih tiada keterangan awal mengenai kejadian daripada penunggang motosikal,” katanya.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan melulu dan merbahaya. – SabahNewsToday

Motosikal Honda yang terlibat dalam kemalangan tersebut. – Gambar SNT/Ehsan Polis

Berita Asal : https://www.sabahnewstoday.com/lelaki-maut-dalam-nahas-di-km-5-jalan-baru-papar/

437