Dua sekolah masih ditutup

Keadaan SK Sualok Di Beluran. – Foto Ihsan Pembaca

DUA sekolah di daerah Beluran masih ditutup hari ini akibat banjir yang menyebabkan kawasan sekolah turut ditenggelami air.

Dua sekolah itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sualok dan SK Binsulung, masing-masing membabitkan 203 murid dan 229 murid dengan 13 dan 14 guru.

Pengarah Pendidikan negeri, Mistirine Radin berkata, sebuah lagi sekolah di daerah itu yang ditutup semalam iaitu SK Sungai-Sungai sudah mula beroperasi pagi ini.

“Perkembangan terkini pagi ini, ada dua sekolah masih ditutup akibat banjir iaitu di daerah Beluran, manakala sekolah lain yang ditutup semalam sudah dibuka hari ini,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Semalam, tujuh sekolah termasuk sebuah sekolah menengah di Beluran dan Pitas ditutup akibat banjir, selain tiga dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa banjir termasuk sebuah di Kota Marudu.

Tujuh sekolah yang ditutup semalam iaitu masing-masing empat di Beluran dan tiga di Pitas membabitkan seramai 1,989 murid dan pelajar serta 173 guru.

Banjir yang melanda tiga daerah utara Sabah itu sejak Jumaat lalu mula pulih semalam kecuali di Beluran yang dilaporkan masih ada kawasan digenangi air. – Harian Metro

Keadaan SK Sualok Di Beluran. – Foto Ihsan Pembaca
Keadaan SK Sualok Di Beluran. – Foto Ihsan Pembaca
183