Bimbang ‘sang bedal’ masuk rumah

Keadaan banjir dibeberapa kawasan kampung di Kota Marudu

“KAMI sekeluarga mengambil keputusan berpindah ke pusat penempatan sementara (PPS) kerana risau buaya dari sungai berhampiran tersesat masuk ke dalam rumah,” kata Diana Kasitajali, 24.

Penduduk Kampung Asin-Asin 1 itu adalah antara 326 mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek, di Kota Marudu, berikutan kawasan kampung digenangi banjir akibat limpahan Sungai Tandek, sejak Jumaat lalu.

Diana berkata, dia terpaksa berpindah kerana bimbang keselamatan keluarga memandangkan rumah mereka berhampiran sungai yang ada buaya.

“Kami bimbang jika ada buaya ‘tersesat’ masuk ke rumah kerana kawasan ini memang ada haiwan itu. Jadi, saya dan suami mengambil keputusan berpindah ke PPS,” katanya ketika ditemui di SMK Tandek, hari ini.

Sementara itu, seorang lagi mangsa banjir, Wairing Sogima, 59, berkata, dia dan keluarga terpaksa berpindah ke PPS selepas tidak mampu lagi bertahan berikutan rumah mula dimasuki air sejak pagi Jumaat lalu susulan hujan berterusan.

“Pada mulanya kami mahu tunggu arahan pihak berkuasa tetapi air semakin naik dari buku lali hingga ke paras pinggang menyebabkan saya dan suami terpaksa keluar dari rumah.

“Saya sempat juga masak sambil kaki berendam dengan air banjir tetapi tengah hari itu kami terpaksa berpindah juga sebelum dibawa ke PPS kira-kira jam 7 malam,” katanya yang terpaksa terpaksa bermalam di PPS selama dua malam sebelum dibenarkan pulang hari ini.

“Semalam, air sudah mulai menurun tetapi kami masih tidak dibenarkan pulang dan saya sempat pulang untuk melihat keadaan rumah sekejap dan mendapati air masih bertakung dan barangan rumah termasuk mesin basuh terapung,” katanya.

Bagi Wairing, banjir kali ini adalah yang terbesar kerana sebelum ini air hanya melepasi buku lali dan jika berpindah pun tidak lebih satu malam.

“Sebelum ini, memang kami biasa dilanda banjir dan kebetulan kawasan kami berdekatan dengan Sungai Tandek, tetapi kali ini, air naik dengan cepat,” katanya.

Sementara itu, semua penduduk kampung berkenaan yang dipindahkan ke PPS SMK Tandek dibenarkan pulang pada jam 10.30 pagi tadi selepas mendapat kebenaran daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *