Mangsa banjir di Kota Marudu meningkat kepada 1,425 orang petang tadi

Keadaan Banjir Di Kota Marudu Hari Ini. Foto Ihsan Pembaca

KOTA KINABALU, 26 Jan – Hujan berterusan sejak petang semalam sehingga petang ini menyebabkan mangsa meningkat kepada 1,425 orang daripada 510 keluarga, dan kesemua mereka  dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan di 11 PPS di Dewan Kampung Longob, Sekolah Kebangsaan Taritipan, Dewan Mosolog, Sekolah Menengah Agama Goshen.

Dewan Morion, Dewan FTC Dama 1, Dewan Asin-Asin, Dewan SMK Tandek, Dewan Komuniti Kota Marudu, Dewan Batition dan Dewan St Theresa.

Kesemua mangsa itu dari 26 kampung terjejas banjir antaranya Kampung Longob, Kampung Belianjung, Kampung Mosolok, Kampung Maragatung, Kampung Salimandut, Kampung Damai, Kampung Parong, Kampung Popok Laut, Kampung Gurantung, Kampung Garada, Kampung Morion dan Kampung Teritipan.

“Setakat 5 petang tadi, pasukan bomba bersama agensi lain terus menjalankan operasi memantau dan memindahkan mangsa terlibat,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, sehingga kini, hujan masih berterusan menyebabkan dua jalan tidak dapat dilalui kerana dinaiki air di Kilometer 5.7 Jalan Gana dan Jalan Kota Marudu-Marak Parak.

— BERNAMA

Keadaan Banjir Di Kota Marudu Hari Ini. Foto Ihsan Pembaca
Keadaam Banjir Di Kota Marudu Hari Ini. Foto Ihsan Pembaca
Keadaan Banjir Di Kota Marudu Hari Ini. Foto Ihsan Pembaca
470