15 kampung di Kota Belud terjejas banjir

SEBAHAGIAN laluan kenderaan yang dinaiki banjir di daerah Kota Belud.  – FOTO APM KOTA BELUD

KOTA BELUD: Sebanyak 15 kampung di daerah ini terjejas akibat banjir susulan hujan lebat berterusan selama lapan jam sejak jam 3 petang semalam.

Bagaimanapun, sehingga jam 10 pagi ini, belum ada penduduk yang dipindahkan.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kota Belud, Jimmy Alberto Tining, berkata hujan lebat turut menyebabkan peningkatan paras Sungai Tempasuk yang mencecah paras berjaga-jaga 4.39 meter.

“Setakat ini, hujan sudah berhenti namun ia menyebabkan kawasan rendah termasuk jalan raya di 15 kampung dinaiki air sejak jam 12 tengah malam tadi.

“Pada masa sama, Jalan Kampung Piasau-Kampung Tambulion, Jalan Kampung Linau serta Jalan Kampung Lingkodon-Kampung Donggoi turut dinaiki air dan tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan.

“Kita menjalankan pemantauan secara berkala dan bersiap sedia untuk membantu jika penduduk perlu berpindah,” katanya.

Beliau berkata, kampung yang terjejas ialah Kampung Bobot, Kampung Ejuk, Kampung Siasai Tamu, Kampung Kota Belud, Kampung Menunggui, Kampung Sembirai, Kampung Lingkodon, Kampung Linau dan Kampung Gunding.

Turut terjejas, Kampung Donggoi, Kampung Sadok-sadok, Kampung Marajah, Kampung Lebak Engad, Kampung Lebak Moyoh dan Kampung Taun Gusi Keranjangan.

“Pengguna kenderaan disarankan menggunakan laluan alternatif iaitu di Jalan Kampung Piasau-Jalan Kampung Tambulion,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Pegawai APM Daerah Tuaran, Paulina Francis, berkata pihaknya masih menjalankan pemantauan dan belum menerima sebarang aduan mengenai banjir di sekitar Tuaran. – Berita Harian

SEBAHAGIAN laluan kenderaan yang dinaiki banjir di daerah Kota Belud.  – FOTO APM KOTA BELUD
SEBAHAGIAN laluan kenderaan yang dinaiki banjir di daerah Kota Belud.  – FOTO APM KOTA BELUD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *