Lelaki ditahan cuba seludup keluar minyak masak, tong gas

Foto Ihsan PPM TAWAU

TAWAU, 22 Jan – Pasukan Polis Marin (PPM) menahan seorang lelaki tempatan di kawasan laut Sungai Pukul dekat sini selepas cuba menyeludup keluar minyak masak, gula pasir, tepung gandum serta tong gas memasak dipercayai ke Indonesia, semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata penahanan suspek berumur 49 tahun bersama 1,921 kilogram (kg) minyak masak, 720kg gula pasir, 612kg tepung gandum serta enam tong gas memasak itu adalah hasil maklumat daripada Unit Risikan Marin Tawau sebelum sebuah bot jongkong dikesan dan diperiksa pasukan rondaan Op Gelora pada pukul 4 petang.

“Suspek gagal menunjukkan sebarang Surat Pembelian Barangan Kawalan Berjadual daripada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkaitan barangan yang dibawa.

“Keterangan lisan daripada juragan juga mengatakan semua barangan itu untuk dihantar ke Sungai Nyamuk, Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata suspek serta barang rampasan dianggarkan RM41,250 itu dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama Perkara 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *