Perhimpunan MA63 di Kuching berlangsung aman

KUCHING, 19 Jan – Perhimpunan aman solidariti Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) anjuran Kelab Kesetiaan Sarawak (KKS) yang bertujuan memberi kesedaran mengenai kepentingan hak Sarawak kepada rakyat negeri ini berlangsung aman tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

Tinjauan Bernama mendapati kira-kira 200 peserta berpakaian serba hitam berkumpul di sekitar pusat membeli-belah Plaza Merdeka, sebelum berarak ke Padang Merdeka yang terletak berhadapan bangunan itu pada pukul 3.00 petang.

Difahamkan perhimpunan berkenaan tidak melibatkan sebarang parti politik, dan telah mendapat permit daripada polis, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) serta pihak berkuasa berkaitan yang lain.

Lokasi perhimpunan itu juga dikawal ketat oleh polis.

Perhimpunan itu diisi dengan lima slot ucapan solidariti MA63 daripada pelbagai lapisan anak Sarawak yang menyampaikan ucapan secara sukarela berpentaskan sebuah kereta pacuan empat roda, Ford Ranger.

Berlatar belakangkan pentas yang tertera dengan tulisan ‘Solidariti Sarawak’, antara penyampai ucapan, yang terdiri daripada anggota KKS, ialah Abdul Karim Abdul Rahman yang menyampaikan ucapan mengenai perpaduan berasaskan MA63, Suze Ukong (kepentingan sejarah dalam penentuan kendiri) dan Abdul Halim Hamdian (kedaulatan Sarawak dan MA63).

Majlis itu kemudian diakhiri dengan bacaan ikrar yang dipimpin Mohamad Arhman Ahmad Mahdi dengan diikuti upacara menurunkan tandatangan simbolik sebagai memberi sokongan kepada perhimpunan itu.

Pengerusi penganjur, Halim berkata perhimpunan yang julung kali diadakan itu akan diadakan di daerah lain dalam masa terdekat bagi mengingatkan anak muda Sarawak untuk memperjuangkan hak mereka.

Perhimpunan itu turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tupong, Fazzruddin Abdul Rahman, Presiden Parti Reformasi Negeri (Star) Lina Soo dan bekas Adun Padungan, Dominique Ng.

“Perhimpunan ini adalah aman kerana mempunyai permit dan mengikut undang-undang. Ini adalah bukti, when it comes to Sarawak rise, we won’t go beyond politics issues, beyond (apabila ia melibatkan kebangkitan Sarawak, kami tidak akan pergi melepasi isu politik, melepasi) perkauman dan agama,” kata Fazzruddin.

— BERNAMA

316