47 premis di Sabah, Sarawak, Labuan terima anugerah kawasan bebas rokok

KOTA KINABALU, 19 Jan – Sebanyak 47 premis dari Sabah, Sarawak dan Labuan menerima anugerah kawasan bebas asap rokok menerusi kempen ‘Blue Ribbon’ yang dilaksanakan sejak 2013 oleh Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (MySihat).

Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia Dr Lee Boon Chye berkata sembilan premis yang menerima anugerah berkenaan merupakan premis tempat makan dan selebihnya merupakan premis di bawah kategori hotel, rumah tamu dan inap desa.

“Penerimaan anugerah ini menunjukkan satu komitmen yang jelas  bahawa pelaksanaan larangan merokok ini tidak menjejaskan perniagaan mereka malahan telah menarik lebih ramai pelanggan mengunjunginya,” katanya ketika menyampaikan anugerah itu dalam satu majlis di sini, malam tadi.

Beliau berharap agar semua penerima anugerah berkenaan akan terus mengekalkan semua komitmen dan inisiatif murni berkenaan dan seterusnya akan dapat menarik lebih ramai orang perseorangan, institusi, pertubuhan serta komuniti yang akan bersama-sama dalam usaha untuk melindungi orang awam daripada bahaya asap rokok.

“Semoga inisiatif yang dilaksanakan ini akan mendatangkan manfaat dan impak kesihatan kepada semua rakyat Malaysia,” katanya.

Katanya melalui program Blue Ribbon terdapat beberapa premis yang dikunjungi orang awam yang telah memulakan inisiatif untuk menjadikan tempat mereka sebagai tempat larangan merokok walaupun tiada undang-undang pewartaan dibuat oleh kerajaan.

“Oleh itu saya berharap usaha mereka dapat menginspirasikan lebih banyak individu, organisasi serta komuniti untuk mengikuti jejak langkah untuk menjadikan premis mereka sebagai tempat bebas asap rokok,” tambahnya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *