Kerajaan Sabah tawar PPR Batu Putih kepada penduduk Kampung Tinusa 1

SANDAKAN, 17 Jan – Kerajaan Negeri Sabah menawarkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Putih dekat sini kepada kira-kira 180 penduduk Kampung Tinusa 1 yang terpaksa berpindah dari kampung itu atas perintah mahkamah.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah Arifin Asgali berkata semua pihak, termasuk kerajaan, tidak boleh mengingkari perintah mahkamah untuk mengosongkan kawasan kampung seluas 2.07 hektar itu.

“Apabila ada perintah mahkamah, kerajaan tidak boleh buat apa-apa (untuk mempertahankan tanah Kampung Tinusa 1 untuk penduduk).

Kita kena akur kepada perintah mahkamah dan anda (penduduk kampung) akan dipindahkan ke PPR Batu Putih. Ini sahaja yang kerajaan boleh ikhtiarkan,” katanya pada sesi bertemu penduduk kampung itu di sini hari ini.

Ketika ditemui pemberita, Arifin memberitahu beliau akan berbincang dengan peguam penuntut tanah, yang diisytiharkan sebagai pemilik tanah yang sah, untuk menangguhkan sementara operasi perobohan rumah di kampung itu, yang sepatutnya dilaksanakan pada Selasa lepas, memandangkan PPR Batu Putih dijangka siap sepenuhnya Mac ini.

Penduduk kampung itu mendakwa berlaku pertindihan pemilikan ke atas tanah kampung itu, yang mereka dakwa tanah itu berstatus anak negeri (NT), manakala pihak penuntut tanah mempunyai geran berstatus pegangan pajakan (CL).

Namun, selepas beberapa kali merayu di mahkamah, keputusan mahkamah berpihak kepada penuntut tanah.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *