2 remaja disyaki seludup 9 migran ditahan

PPM gagalkan cubaan membawa masuk PATI di kawasan perairan Pelabuhan Tawau, petang semalam. – Ihsan PPM

TAWAU: Taktik sepasukan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) menggunakan bot samaran berjaya membongkar kegiatan penyeludupan migran di kawasan perairan Pelabuhan Tawau, petang semalam.

Dalam kejadian 3 petang itu, Unit Risikan Marin (URM) yang membuat pemantauan dan risikan mengesan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan dari arah Sungai Haji Kuning, Sebatik memecut laju menuju ke Pelabuhan Tawau.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata berikutan itu anggota PPM menahan bot laju terbabit yang dikendalikan remaja tempatan berumur 18 tahun dan kru bot tanpa dokumen berusia 16 tahun.

Katanya, ketika pemeriksaan terdapat sembilan penumpang terdiri lima lelaki dan empat wanita, termasuk dua kanak-kanak yang semuanya berumur sembilan hingga 73 tahun.

“Siasatan lanjut kemudian mendapati semua mereka adalah pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia, dipercayai cuba memasuki daerah ini tanpa dokumen pengenalan atau pasport perjalanan yang sah,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, kedua-dua remaja yang berperanan sebagai juragan dan kru bot ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti penyeludupan migran dan mereka bersama sembilan PATI dibawa dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan lanjut.

“Turut dirampas ialah bot bersama satu unit enjin sangkut jenis Yamaha 60 kuasa kuda (hp) dianggarkan berjumlah RM28,000 dan kes disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Pindaan 2010),” katanya.

Dalam operasi berasingan jam 4.40 petang semalam, anggota PPM Tawau menjalankan tugas Op Gelora Khas di perairan Pelabuhan Tawau memeriksa dua individu, masing-masing remaja tempatan berumur 17 tahun dan lelaki warga asing berumur 40 tahun yang menaiki sebuah bot laju.

Mohamad Pajeri berkata, pemeriksaan menemui satu straw plastik berisi ketulan hablur jernih disyaki syabu bersama kepingan foil untuk menghisap dadah berkenaan dalam beg sandang salah seorang suspek sebelum mereka ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. – Berita Harian

PPM gagalkan cubaan membawa masuk PATI di kawasan perairan Pelabuhan Tawau, petang semalam. – Ihsan PPM

Foto Ihsan PPM

274