Kecewa tapi hormati keputusan mahkamah – Musa Aman

Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman ketika keluar dari Mahkamah Tinggi Jenayah 2 di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, semalam. – Foto Eizairi Shamsudin

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, berkata beliau menghormati keputusan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini yang mengenepikan perintah Mahkamah Sesyen sebelum ini berhubung kebenaran memulangkan pasport untuk menyambung rawatan di luar negara.

Musa bagaimanapun menyatakan kedudukannya seolah-olah bertentangan dengan asas dalam sistem keadilan jenayah bahawa seseorang tertuduh kekal tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

Beliau berkata, status tidak bersalah itu bukan saja hak perundangan, malah menjadi asas hak asasi manusia.

“Dalam hal ini, saya merasakan bahawa saya dianggap bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

“Permohonan saya untuk menyambung rawatan perubatan adalah berasas. Rawatan saya bermula di United Kingdom pada tahun lalu sebagai susulan rawatan doktor pilihan saya di Singapura yang merawat saya selama lebih 22 tahun.

“Ini dibenarkan oleh hakim Mahkamah Sesyen sebelum ini yang memahami merit permintaan saya tetapi malangnya dalam semakan, hakim Mahkamah Tinggi menafikannya. Sudah pasti ini bukan kedudukan yang sepatutnya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Musa berkata beliau sentiasa meletakkan kepercayaannya terhadap keluhuran undang-undang dan percaya tiada siapa boleh dihalang untuk meneruskan rawatan perubatan oleh doktor pilihannya, terutama apabila rawatan itu sudah bermula dan ia tidak mengganggu prosiding mahkamah.

Katanya, tidak timbul isu melarikan diri atau mengelak pihak berkuasa dan ia dibuktikan dengan kepulangannya ke negara ini pada Ogos tahun lalu, walaupun bertentangan dengan nasihat doktor bagi membantu pihak berkuasa dan melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat.

“Sehingga kini saya memberi kerjasama penuh dan memaklumkan pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) termasuk ketika mendapatkan rawatan perubatan di luar negara.

“Saya ada alasan perundangan untuk menyambung rawatan yang terpaksa ditangguhkan kerana keputusan pulang ke Malaysia,” katanya.

Berikutan itu, katanya, beliau terpaksa memaklumkan doktornya di United Kingdom dan Singapura berhubung perkembangan terbaru itu.

Musa berkata, beliau akan mendapatkan nasihat peguamnya untuk mengambil tindakan selanjutnya.

“Saya menghormati keputusan mahkamah tetapi saya kecewa,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *