Curi 3 botol sos tiram, kena denda RM1,000

Tong Fei Mei didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencuri tiga botol sos tiram jenama ‘Lee Kum Kee’ dari sebuah pasar raya di Penampang. – Foto Malai Rosmah Tuah

KOTA KINABALU: Seorang wanita didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencuri tiga botol sos tiram jenama ‘Lee Kum Kee’ dari sebuah pasar raya di Penampang.

Majistret Stephanie Sherron Abbie turut memerintahkan tertuduh, Tong Fei Mei, 45, menjalani tiga bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mengikut kertas pertuduhan, Fei Mei didakwa mencuri tiga botol sos tiram itu di sebuah pasar raya di Penampang, kira-kira jam 2.30 petang pada 12 Januari lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis Inspektor Suzie @ Stephanie Kupit, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam rayuannya, Fei Mei hanya menyatakan dia mahu bebas selain sudah bercerai dan mempunyai seorang anak. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *