Alhamdulillah, budak mangsa tebusan makin OK…

Kanak-kanak berusia dua tahun yang dijadikan tebusan oleh seorang lelaki lalu, kini semakin pulih dan ditempatkan di wad biasa Hospital Wanita dan kanak-kanak Sabah, Likas, Kota Kinabalu. – Foto Ihsan Keluarga Mangsa

KOTA KINABALU : “ALHAMDULILLAH…hari ini anak saya semakin pulih dan sudah dipindahkan ke wad biasa,” kata Herna Hasim, 27, ibu kepada kanak-kanak perempuan dua tahun yang dijadikan tebusan oleh seorang lelaki di rumah di Taman Telipok Ria, Tuaran, Ahad lalu.

Herna berkata, anaknya yang masih dirawat di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah di Likas, Kota Kinabalu, semakin pulih serta sudah boleh makan dan minum.

“Saya amat bersyukur hari ini anak sudah dipindahkan ke wad biasa dan keadaannya semakin pulih.

“Dia sudah boleh bercakap, makan dan minum,” katanya kepada NSTP.

Bagaimanapun, Herna berkata, anak kelima daripada enam beradik itu masih tidak dapat bergerak kerana mengalami kecederaan pada kaki dan dijadualkan menjalani pemeriksaan lanjut, Khamis ini.

Dalam kejadian 13 Januari lalu, suspek lelaki berusia 30-an melarikan mangsa yang sedang bermain di tingkat empat berhampiran rumahnya lalu menjadikan kanak-kanak itu sebagai tebusan di sebuah rumah di aras sama.

Selepas beberapa jam berunding, suspek enggan menyerahkan mangsa dan beberapa kali mengacah-acah untuk mencampakkan kanak-kanak itu dari bahagian dapur rumah di tingkat empat berkenaan sebelum suspek ditembak mati oleh anggota polis.

Kanak-kanak itu cedera di leher kemudian dikejarkan ke hospital untuk rawatan.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, ketika dihubungi berkata, polis masih menunggu laporan daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mengesahkan identiti suspek melalui cap jari diserahkan kepada jabatan berkenaan.

“Cap jari sudah diserahkan kepada JPN dan kita kena tunggu laporan jika suspek mempunyai dokumen (sah).

“Buat masa ini, identiti suspek belum dikenal pasti dan siasatan masih dijalankan,” katanya.

Mengenai identiti ‘Rashid’ yang disebut oleh suspek ketika rundingan dengan polis tempoh hari, Omar berkata, pihaknya masih menyiasat untuk mengenal pasti individu disebut suspek terbabit.

“Kita belum mengetahui individu bernama Rashid yang dimaksudkan dan kaitannya dengan kes berkenaan,” katanya. – Harian Metro

461