Ibu tunggal bersyukur rumah baharu selamat dalam kebakaran di Putatan

Kebakaran di Kampung Pasir Putih, Putatan – Foto Medial Sosial

KOTA KINABALU, 13 Jan- Seorang ibu tunggal hanya mampu memanjatkan kesyukuran apabila rumah yang baharu didiaminya dua bulan lalu terselamat  daripada dijilat api dalam kejadian kebakaran yang memusnahkan lebih 50 buah rumah di Kampung Pasir Putih Putatan pada Jumaat lalu.

Tianti Tampa, 58, berkata ketika kejadian itu berlaku beliau berada di rumahnya sebelum menyedari api sedang merebak dari rumah yang berada beberapa meter dari kawasan rumahnya.

“Apabila melihat api sangat cepat merebak, makcik  terus membantu jiran yang sedang mengandung bersama dua anaknya yang terkunci di dalam rumah dan bawa mereka keluar melalui tangga di tangki air di belakang rumah mereka,” katanya ketika ditemui Bernama, di sini hari ini.

Ibu kepada enam cahaya mata itu berkata dalam keadaan panik itu beliau hanya memikirkan untuk menyelamatkan nyawa berbanding harta benda yang sedang terbakar.

Bagaimanapun, beliau reda rumah lama yang terletak di bahagian belakang rumah baharunya itu terbakar memusnahkan kesemua barang.

Sementara itu anak kedua Tianti iaitu Masita Mustofa, 36, menjelaskan kejadian itu telah menyebabkan kekeliruan dalam media sosial apabila beliau dan adiknya Rahmat Mustofa, 25, dikatakan sebagai penghafaz Al-Quran.

Masita berkata beliau bersama adiknya yang merupakan bekas pelajar Sekolah Tinggi Ilmu Islam dan Bahasa Arab (STIBA) Makassar, Indonesia sentiasa menjaga solat, mengamalkan zikir pagi dan petang, dan tidak meninggalkan membaca Al-Quran setiap hari.

“ Dalam hati saya berdoa semoga buku-buku pengajian yang berada dalam rumah tidak terbakar,” katanya.

Kebakaran di kawasan kira-kira empat hektar yang berlaku kira-kira 12.35 tengah hari itu telah memusnahkan 55 buah rumah melibatkan 315 penghuni daripada 74 keluarga.

— BERNAMA

Kebakaran di Kampung Pasir Putih, Putatan – Foto Medial Sosial
Kebakaran di Kampung Pasir Putih, Putatan – Foto Medial Sosial
Kebakaran di Kampung Pasir Putih, Putatan – Foto Medial Sosial

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *