Polis Sandakan kesan tahanan lari dari Mahkamah Sandakan

Gambar suspek yang lari daripada tahanan. – Ihsan IPD Sandakan

SANDAKAN: Seorang tahanan warga Indonesia melarikan diri daripada kawalan polis selepas membuka gari berantai di tangannya di Mahkamah Sandakan di sini, petang semalam.

Jusman Amir, 29, yang dibawa ke mahkamah untuk pendakwaan kes dadah dipercayai melarikan diri ketika proses memuatkan tahanan ke dalam trak untuk dihantar ke Penjara Sibuga, kira-kira jam 3.30 petang.

Suspek yang berbadan kurus, berkulit gelap, mempunyai misai serta janggut dikatakan melarikan diri ke kawasan semak di Taman Khong Lok, Batu 7, di sini.

Ketika kejadian juga, tahanan Ibu Pejabat Polis (IPD) Beluran itu yang sepatutnya ditahan di Penjara Sibuga sementara menunggu sebutan semula kes atas kesalahan mengambil dadah, memakai baju hitam dengan tulisan ‘sex pistol’, berseluar pendek putih dan mempunyai tatu pada lengan kiri.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan Abdul Fuad Abdul Malek, berkata operasi mengesan dan menangkap suspek dilancarkan serta-merta oleh Jabatan Siasatan Jenayah dan Tugas Am dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9).

“Suspek belum dapat dikesan sehingga kini dan Ops Tutup 24 jam juga dilancarkan serta-merta untuk mengesan suspek.

“Kita juga meminta kerjasama orang ramai yang ada maklumat berkaitan suspek supaya menghubungi polis,” katanya di sini, malam ini.

Abdul Fuad berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 223 /224 Kanun Keseksaan iaitu penjawat awam dengan cuai membiarkan seseorang lari dari pengurungan atau tentangan terhadap penangkapan yang sah dari segi undang-undang.

Katanya, orang ramai yang ada maklumat boleh menghubungi talian 089-212222. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *