Mohd Shafie gesa bomba Sabah siap sedia hadapi musim panas

Shafie Apdal meluangkan masa melawat lokasi kejadian kebakaran Kampung Pasir Putih, Putatan dan menziarahi mangsa di Dewan Serbaguna Putatan, dekat sini, hari ini. – FOTO BERNAMA

KOTA KINABALU, 12 Jan – Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menggesa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah meningkatkan kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang kebarangkalian berlaku kebakaran pada musim panas dan kurang hujan yang melanda negeri ketika ini.

Beliau berkata kesiapsiagaan itu termasuk bekerjasama dengan Jabatan Air Sabah dan majlis daerah bagi memastikan bekalan air di sesuatu kawasan mencukupi dan tekanan air dalam keadaan baik.

Menurutnya, langkah tersebut penting bagi membolehkan operasi memadam api di lokasi kebakaran dapat dilakukan dengan pantas tanpa timbul sebarang masalah kekurangan air atau tekanan air rendah.

“Agensi (bomba) kena peka supaya persediaan cukup kerana dalam keadaan cuaca tidak menentu dan musim panas ini kesiapsiagaan itu adalah perlu. Kadang-kadang di sesebuah kawasan air tidak cukup tekanan, apabila dalam keadaan itu, bomba perlu kenal pasti pam air mereka mencukupi atau tidak.

“Jika air tidak mencukupi, mereka perlu menghubungi jabatan air terdekat untuk mendapatkan bantuan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meluangkan masa melawat lokasi kejadian kebakaran Kampung Pasir Putih, Putatan dan menziarahi mangsa di Dewan Serbaguna Putatan, dekat sini, hari ini.

Turut hadir Pembantu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah Datuk Uda Sulai yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Petagas.

Mohd Shafie berkata satu sistem efisien perlu diwujudkan bagi mencegah kebakaran daripada cepat merebak terutama di kawasan kurang bekalan air atau tekanan air rendah termasuk menyediakan lori tangki serta pam menyedut air laut untuk operasi memadam kebakaran di kawasan kampung atas air.

JBPM Sabah juga perlu memberi penerangan dan pendidikan kepada penduduk setempat mengenai keselamatan pendawaian selain ciri-ciri keselamatan diluluskan bomba dalam pembinaan rumah, katanya.

Mengenai kebajikan mangsa kebakaran, Mohd Shafie berkata kerajaan negeri akan merancang dengan teliti pendekatan terbaik membantu mangsa terutama berkaitan tempat tinggal berikutan pusat pemindahan sementara itu tidak boleh diduduki sehingga enam bulan.

“Kerajaan negeri akan memikirkan bagaimana mengatasi masalah masyarakat kampung ini. Namun, kita akan memastikan bantuan lain termasuk makanan dan perubatan akan dijaga dengan baik,” katanya.

Sebanyak 55 rumah setinggan di kampung itu musnah dalam kejadian kebakaran kira-kira 12.30 tengah hari semalam dan api sukar dikawal berikutan tekanan air pili bomba rendah serta rumah yang dibina terlalu rapat.

Seramai 315 penghuni daripada 74 keluarga terlibat dalam kebakaran itu dengan keseluruhan keluasan kawasan kebakaran kira-kira empat hektar.

— BERNAMA

228