Kantoi ketika pindah diesel

Pegawai penguatkuasa memeriksa diesel yang dipindahkan ke dalam tong – FOTO Ihsan KPDNHEP

KUDAT : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Kudat menahan pemandu lori tangki ketika leka memindahkan 4,000 liter diesel dianggarkan bernilai RM9,000 di sebuah jeti di Kudat, semalam.

Difahamkan, serbuan 8 pagi itu dilakukan ketika lelaki tempatan berusia 43 tahun terbabit memindahkan diesel ke dalam tong di kapal kargo jenis kayu dipercayai untuk dihantar ke sebuah premis tidak berlesen di daerah itu.

Ketua Cawangan KPDNHEP Daerah Kudat, Muntahar Asmarah berkata, lima pegawai penguat kuasa terbabit dalam operasi berkenaan selepas risikan dijalankan ke atas lori tangki yang membawa muatan barang kawalan sejak sebulan lalu.

“Ketika serbuan, kami dapati berlaku pemindahan diesel menggunakan paip getah dari sebuah lori tangki ke dalam sejumlah tong di atas kapal kargo berkenaan.

“Siasatan juga mendapati bahan bakar terbabit dibawa dari Sepanggar untuk dihantar ke sebuah premis tanpa lesen di daerah ini,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawalan Bekalan 1961 atas kesalahan membekalkan bahan bakar tanpa lesen dan sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun.

“Bagi syarikat pula, boleh didenda sehingga RM2 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *