Curi Dan Potong Kerbau Dalam Kereta

Daging kerbau yang dicuri dipotong dan disimpan di dalam kereta yang ditahan polis di Kampung Laya-Laya, Tuaran. – Foto ihsan Pembaca

TUARAN: Tindakan sebuah kereta memecut laju ketika dihampiri kenderaan polis membongkar kegiatan curi kerbau oleh dua lelaki dalam kejadian di kawasan Kampung Laya-Laya, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 12.10 tengah malam itu, anggota unit peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran sedang menjalankan rondaan dan terserempak dengan sebuah kereta Proton Wira dalam keadaan mencurigakan.

Ketika dihampiri untuk pemeriksaan, kereta itu memecut laju menyebabkan peronda polis mengejar sebelum berjaya menahan kereta dinaiki dua lelaki berusia 18 dan 28 tahun.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Dzulbaharin Ismail, berkata ketika pemeriksaan terdapat kesan darah pada badan suspek sebelum kedua-dua mereka ditahan untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan menemui daging kerbau yang sudah dipotong di dalam kereta dinaiki suspek. Tangkapan dan rampasan dibawa ke balai polis dan siasatan mendapati kedua-dua suspek terbabit dalam kegiatan curi kerbau dan lembu,” katanya ketika dihubungi.

Dzulbaharin berkata, suspek terbabit dipercayai aktif melakukan kegiatan curi kerbau dan lembu di daerah Tuaran dan Kota Belud.

“Biasanya kegiatan mereka ini aktif pada waktu malam dan subuh. Hasil yang dicuri ini dipercayai dijual di sekitar pasar Manggatal.

Dengan tertangkapnya kedua-dua suspek ini, secara langsung dapat membantu menyelesaikan kes curi kerbau dan lembu di Tuaran.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

Sementara itu, katanya, polis mengharapkan masyarakat dapat bekerjasama dalam membanteras jenayah dengan menyalurkan maklumat.

“Dengan tertangkapnya penjenayah-penjenayah ini, adalah bukti kerjasama yang diberikan oleh masyarakat dalam membanteras jenayah,” katanya. – Berita Harian

573