Perintah Berkurung Di ESSZONE Dilanjutkan Mulai Esok Hingga 26 Januari

KOTA KINABALU: Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) akan dilanjutkan bermula esok sehingga 26 Januari berkuat kuasa selama 24 jam bermula pukul 6 petang.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata pelaksanaan perintah berkurung itu dilaksanakan di bawah Seksyen 31(1) Akta Polis 1967 dalam tempoh 14 hari dan dilanjutkan bagi mereka yang tinggal di kawasan Esszone.

Katanya dalam tempoh tersebut, penduduk di kawasan berkenaan diminta berada di dalam rumah dan dan orang lain tidak dibenarkan memasuki atau berada di kawasan yang telah diistiharkan antara pukul 6 petang sehingga 6 pagi selama tempoh perintah berkurung tersebut.

“Perintah berkurung tersebut meliputi kawasan perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

“Keperluan untuk meneruskan Perintah Berkurung di kawasan-kawasan ini adalah bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak dicerobohi oleh pengganas yang mengancam keselamatan para penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan dan pelancong-pelancong asing yang melawat pulau-pulau peranginan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Tambahnya langkah tersebut juga bagi mengekang kumpulan-kumpulan pengganas dari selatan Negara Filipina kerana maklumat mendedahkan kumpulan yang menjalankan kegiatan menculik k=untuk wang tebusan (KFR) dan kumpulan Abu Sayaf yang masih cuba menceroboh untuk melakukan pencolekan dan lain-lain jenayah rentas sempadan.

Omar berkata ia turut menjaminkan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan serta yang berada di daratan sekitar kawasan Esszone.

“Perintah berkurung ini memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakkan bot serta menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha chalet mahupun aktiviti-aktiviti perikanan dengan kehadiran kapal pasukan keselamatan yang menguatkuasakan perintah berkurung ini.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah berkenaan untuk mengeluarkan permit kepada mana-mana pemohon yang memenuhi syarat bagi tujuan aktiviti-aktiviti perikanan atau laluan melalui kawasan perintah berkurung yang mendesak,” katanya. -SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *