Kunjungan Konsul Indonesia buka peluang mengantarabangsakan Politeknik Sandakan Sabah

FOTO BERNAMA

SANDAKAN, 10 Jan – Kunjungan Konsul Indonesia di Kota Kinabalu Hendro Retno Wulan ke Politeknik Sandakan Sabah di sini diyakini akan membuka peluang kepada institusi pendidikan itu melebarkan sayapnya ke luar negara menerusi kerjasama dalam bidang pendidikan.

Pengarahnya Tajul Ariffin Mohamed Arif berkata pihaknya akan menimbang kemungkinan itu dengan meneliti institusi pendidikan di Indonesia yang menawarkan program sama dengan politeknik tersebut, khususnya dalm bidang agroteknologi dan akuakultur.

“Kami (Politeknik Sandakan Sabah) ada cadangan untuk melawat Institut Pertanian Bogor di Indonesia, tetapi dengan kunjungan hormat Konsul Indonesia Hendro Retno Wulan, mungkin kami boleh memperluaskan lagi kerjasama dengan institusi lain di Indonesia yang menawarkan program sama dengan kami,” katanya kepada selepas menerima kunjungan Hendro hari ini.

Menurut Tajul Ariffin, kerjasama mungkin melibatkan pertukaran pelajar dan pemindahan teknologi.

Sementara itu, Hendro berkata kunjungannya ke politeknik tersebut bertujuan meneroka potensi bidang pertanian yang boleh dikembangkan republik berkenaan memandangkan ramai diplomat Indonesia berkhidmat di Sabah.

“Kami ingin menguatkan lagi hubungan, khususnya di kawasan sempadan seperti antara Kalimantan Utara dan Sabah kerana kedudukan yang berdekatan.

“Hubungan di antara Indonesia dan Malaysia semakin erat dan tentunya kami mahu menguatkan lagi hubungan yang sudahpun berjalan dengan baik,” katanya.

Hendro turut mempelawa Politeknik Sandakan Sabah melawat Pameran Dagangan Kraftangan Antarabangsa 2019 (Inacraft 2019) di Jakarta pada 24-28 April depan.

Mengulas lanjut, beliau berkata pameran tahunan itu merupakan yang terbesar di Indonesia dan disertai pelbagai persatuan pengusaha industri kecil sederhana (IKS) di negara berkenaan dalam mempromosikan produk Indonesia seperti kraf tangan dan makanan kepada negara luar.

-BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *