Suami didakwa pukul isteri

Hasrol Hassan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, hari ini, atas pertuduhan memukul isterinya dengan tukul besi dan tali pinggang. – Foto Malai Rosmah Tuah

KOTA KINABALU: Seorang pemilik bengkel kereta dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan memukul isterinya dengan tukul besi dan tali pinggang.

Tertuduh, Hasrol Hassan, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Indra Ayub.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memukul Suziwati Osman, 26, di sebuah rumah di Simpang Bubut, Jalan Penghulu Tuah, Labuan, pada jam 8 pagi, 28 Oktober tahun lalu.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Umar Faiz manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh memohon diberikan kebenaran ikat jamin dan berjanji tidak akan mengganggu saksi atau mangsa.

Bagaimanapun, hakim tidak membenarkan permohonan itu dan menetapkan tertuduh supaya ditahan di penjara Kepayan.

Indra turut mengarahkan tertuduh melantik peguam bagi mewakilinya dan menetapkan tarikh pengurusan kes pada 12 Februari ini sebelum perbicaraan dijalankan pada 11 dan 12 April depan. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *