Penjawat awam Sabah perlu bergerak sebagai satu pasukan

KENINGAU – Penjawat awam di negeri ini perlu bergerak sebagai satu pasukan bagi membentuk gandingan yang mantap dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Bahari Hassan berkata mereka perlu positifkan minda dengan menjadikan setiap kelemahan dan kekurangan sebagai satu kelebihan serta peluang untuk menghasilkan sesuatu lebih kreatif dalam meningkatkan penyampaian perkhidmatan.

Beliau berkata dalam usaha memperkukuh daya saing negara, pelbagai inisiatif dilaksanakan untuk mentransformasikan perkhidmatan awam meliputi pembangunan pelan strategik dan pelan transformasi  agensi.

“Perkhidmatan awam perlu melaksana Proses Penstrukturan Perniagaan bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan, memperkukuh pelaksanaan strategik Komunikasi Teknologi Maklumat (ICT) dan mengembeling tenaga kerja optimum melalui perkongsian strategik antara agensi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Program Pembudayaan dan Pemerkasaan Inovasi Dalam Sektor Awam Melalui Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) di sini, hari ini.

Program yang julung kali diadakan di daerah ini dianjurkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, yang dihadiri 200 peserta dalam kalangan ketua-ketua jabatan dan penjawat awam Sabah.

Bahari berkata impian untuk menjadikan Sabah sebagai sebuah negeri yang kompetitif dalam bidang inovasi memerlukan semua pihak melakukan perubahan berskala besar dan drastik.

Katanya ini memerlukan warga perkhidmatan awam agar bersiap siaga untuk meneroka ilmu pengetahuan dan kepakaran melalui anjakan minda untuk berdepan dengan apa jua cabaran

Beliau berkata inovasi membantu merungkai permasalahan akibat peraturan dan prosedur lama yang sering membantut sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Menurutnya penyampaian perkhidmatan awam yang tidak mesra pengguna tentunya menyukarkan masyarakat untuk mendapatkan perkhidmatan terbaik.

— BERNAMA

195