Sarawak bohong, sebar fitnah – Guan Eng

PUTRAJAYA: Kerajaan Sarawak didakwa berbohong dan menyebarkan fitnah terhadap Kerajaan Pusat berhubung isu pembayaran cukai pelancongan baru-baru ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata, ‘serangan’ dilakukan negeri itu dilihat tidak lebih kepada persiapan awal bagi menghadapi pilihan raya negeri, dua tahun lagi.

Beliau berkata, kerajaan negeri itu akan berterusan menyerang dalam usaha menanam kebencian dalam kalangan rakyat Sarawak terhadap kerajaan.

Katanya, kerajaan terbuka menerima kritikan dari pihak lain termasuk kerajaan negeri tetapi kritikan itu perlulah mengikut fakta dan angka yang tepat.

“Dakwaan Sarawak bahawa kementerian membayar cukai itu kepada Sabah adalah tidak benar, malah Sabah sendiri mengakui tidak menerima apa-apa dana cukai pelancongan.

“Semua negeri pun tidak dapat lagi kerana kita perlu melakukan semakan akhir akaun.

“Apakah Sarawak tidak mahu mengakui kesalahan mereka? Pastinya tidak… sebaliknya mereka akan serang sahaja untuk menanam kebencian dalam kalangan rakyat Sarawak terhadap Pusat sehingga mereka menggunakan dakwaan palsu untuk capai matlamat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Kepada Sekolah Pondok Berdaftar di sini hari ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Christina Liew semalam dilaporkan sebagai berkata, negeri itu masih belum menerima 50 peratus daripada hasil cukai pelancongan daripada kerajaan Persekutuan

Christina, yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata demikian bagi menjelaskan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah pada 4 Januari lalu bahawa Sabah sudah menerima cukai pelancongan daripada Kerajaan Persekutuan. – Berita Harian

182