Kerajaan Sabah Tidak Tolak Larangan Merokok, Cuma Perlu Masa Kaji Pelarasan Undang-Undang

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah menyambut baik dasar dan polisi Kerajaan Persekutuan yang seimbang dan baik untuk rakyat dan negara.

Namun bagi tujuan  penguatkuasaan larangan merokok di restoran dan tempat makan, Kerajaan negeri perlu lebih masa untuk mengkaji terutamanya dari segi pelarasan undang-undang tempatan, kata Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Stephen Wong Tien Fatt.

“Dasar dan polisi yang baik untuk rakyat dan negara, pasti akan kami laksanakan, tetapi tidak wajar bertindak tergesa-gesa dalam penguatkuasaan sesuatu polisi baru,” kata Wong.

Wong menegaskan bahawa, kerajaan negeri Sabah tidak menolak penguatkuasaan larangan merokok di tempat makan, tetapi terdapat beberapa perkara seperti pelarasan undang-undang tempatan yang perlu mendapat persetujuan daripada kabinet Negeri terlebih dahulu.

“Pelaksanaan larangan merokok ini tidak harus dijadikan isu oleh mana-mana pihak,” kata Wong.

Wong juga menegaskan bahawa Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat diwujudkan untuk menjaga dan mengendali hal-ehwal kesihatan dalam negeri ini. Kerajaan Persekutuan seharusnya menghormati hak Sabah, mengadakan perbincangan sebelum pelaksanaan dasar tersebut.

Wong berharap Kerajaan Persekutuan menghormati hak Sabah, berbincang perincian dan cara pelaksanaan serta mencapai persefahaman sebelum penguatkuasaan sesuatu dasar dan polisi.-SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *