Polis sambut kehadiran pelajar di SM Maktab Sabah

KOTA KINABALU, 2 Jan – Kehadiran pelajar Sekolah Menengah (SM) Maktab Sabah di sini pada hari pertama sesi persekolahan 2019 hari ini bukan sahaja disambut oleh guru, malah oleh pegawai polis.

FOTO BERNAMA

Ia bersempena pelaksanaan Program Back To School Polis Daerah Kota Kinabalu yang memilih sekolah tersebut dengan pegawai polis bersama beberapa guru menyambut kehadiran pelajar di pagar masuk sekolah itu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji berkata pelaksanaan program itu bagi memastikan aspek keselamatan membabitkan trafik di jalan raya depan sekolah itu berjalan lancar pada hari pertama sesi persekolahan pada tahun ini.

Katanya ia juga merupakan antara program berterusan polis bersama masyarakat dengan tumpuan kepada sekolah untuk mendekati guru dan pelajar.

Menurutnya pihaknya menempatkan 54 Pegawai Kanan Polis sebagai Pegawai Perhubungan Skeolah (PPS) di 27 sekolah menengah dan 112 PPS kalangan Pegawai Rendah Polis di 56 sekolah rendah sekitar daerah ini.

“Pada tahun ini pihaknya menyasarkan sifar laporan jenayah membabitkan displin pelajar sekolah di daerah ini berbanding tujuh laporan diterima pada tahun lepas,” katanya.     

Sementara itu, Pengetua SM Maktab Sabah Nuinda Alias berkata menerusi program ini dapat memberi motivasi kepada pelajar mengenai disiplin.

Katanya pihak sekolah sentiasa menjalin kerjasama rapat kepada polis terutama dengan adanya seorang PPS untuk sekolah itu dengan tumpuan diberikan terhadap aspek disiplin pelajar dan program membabitkan Kadet Polis.

Menurutnya di sekolah itu terdapat 250 pelajar baharu Tingkatan Satu pada tahun ini daripada jumlah keseluruhan 1,285 pelajar hingga Tingkatan Enam. 

–BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *