Sabah Belum Laksana Larangan Merokok


KOTA KINABALU: Larangan merokok yang diumumkan kerajaan Persekutuan berkuat kuasa hari ini tidak akan dilaksanakan di negeri Sabah sehingga ia disahkan dalam mesyuarat kabinet negeri.

Perkara ini dinyatakan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Jaujan Sambakong; dan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Stephen Wong.

Perokok di negeri ini masih mempunyai masa sekurang-kurangnya seminggu kerana difahamkan mesyuarat kabinet negeri Sabah yang pertama tahun ini hanya akan diadakan minggu hadapan.

Jaujan berkata kerajaan Negeri perlu mengkaji terlebih dahulu sebelum membuat keputusan mengenai larangan tersebut.

Jaujan dan Stephen bersependapat bahawa terdapat beberapa perkara seperti pelarasan undang-undang tempatan yang perlu mendapat persetujuan daripada kabinet Negeri terlebih dahulu.

Langkah sama turut diambil kerajaan negeri Sarawak untuk menangguhkan perlaksanaan larangan itu sehingga kabinet Negerinya membincangkan dan membuat keputusan.

Pada Oktober lepas, Kementerian Kesihatan mengumumkan larangan merokok di semua restoran, kopitiam dan pusat penjaja, malah tempat makan di ruang terbuka, di seluruh negara, berkuat kuasa hari ini, 1 Januari 2019.

Mereka yang didapati merokok di kawasan larangan akan didenda sehingga RM10,000 atau berdepan hukuman penjara dua tahun manakala premis makan yang didapati membenarkan pelanggan mereka merokok akan dikenakan hukuman denda maksimum RM2,500-SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *