Hajiji nafi ada kaitan dengan surat sulit Projek IC

KOTA KINABALU: Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Hajiji Noor, hari ini, menafikan pembabitan beliau dan bekas pemimpin UMNO Sabah berhubung penyebaran satu surat sulit berkaitan Projek Kad Pengenalan (IC).

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, berkata beliau tiada kaitan langsung dengan tuduhan itu yang antara lain mengaitkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dengan Projek IC bagi menambah keahlian parti itu di Sabah.

“Saya ingin menegaskan di sini bahawa saya dan rakan-rakan bekas pemimpin UMNO Sabah tidak ada kaitan langsung dengan tuduhan yang disebut dan ditular dalam media sosial itu.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu dan ini merupakan satu fitnah yang bertujuan untuk merosakkan dan mencemarkan nama baik dan reputasi saya selaku ADUN Sulaman.

“Saya berpendapat, terdapat pihak tertentu yang berniat jahat yang sengaja mengaitkan nama saya dan nama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta BERSATU dengan projek IC,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Hajiji berkata, beliau sedang menyiasat perkara itu dan sudah mengarahkan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang termasuk menyaman pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan berita fitnah itu.

Beliau turut mengingatkan pengamal media sosial supaya lebih berhati-hati, beretika dan bertanggungjawab serta tidak menyebarkan berita fitnah kerana ia akan mendatangkan kemudaratan kepada orang lain dan masyarakat.

Sebelum ini, sebuah portal tempatan menyiarkan satu artikel berpandukan satu surat sulit ditandatangani Hajiji mengandungi maklumat yang dikaitkan dengan Projek IC. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *