Anggota tentera ditahan disyaki rogol kekasih

LAHAD DATU: Seorang anggota tentera ditahan selepas disyaki merogol kekasihnya di sebuah hotel di Bandar Lahad Datu, baru-baru ini.

SEKADAR GAMBAR HIASAN

Suspek berusia 24 tahun terbabit ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu jam 9 malam tadi, selepas mangsa yang berusia 21 tahun membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, sebelum kejadian pada 18 Disember lalu, wanita berkenaan yang bekerja di sebuah pusat beli-belah di Kota Kinabalu dihubungi oleh suspek yang mengajak untuk berjumpa.

“Lelaki berkenaan kemudian membawa mangsa ke Terminal Bas Inanam di Kota Kinabalu lalu membeli tiket bas ekspres ke Lahad Datu, namun mangsa merayu untuk dilepaskan tidak diendahkan

“Suspek sebaliknya menampar muka serta menumbuk perut mangsa dan sepanjang perjalanan ke Lahad Datu, suspek dilaporkan mengugut akan memukul mangsa jika menangis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nasri berkata, apabila sampai di Lahad Datu wanita itu dibawa ke sebuah hotel dan dipaksa untuk melakukan hubungan seks, selain suspek memukul mangsa di bahagian tangan, perut dan paha.

Katanya, mangsa dilepaskan pada keesokan hari di sebuah pusat beli-belah di Sandakan dan diambil oleh sepupunya sebelum membuat laporan polis.

“Mangsa seterusnya dirujuk di hospital untuk mendapatkan rawatan dan doktor mengesahkan terdapat kesan koyakan baharu dan kesan lebam di tangan kiri serta kaki.

“Hasil siasatan awal mendapati, mangsa dan suspek adalah pasangan kekasih dan baru menjalinkan hubungan sejak empat bulan lalu,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *